Thursday, June 27, 2013

Ubat hati adalah dengan mengunjungi jenazah


Disebutkan didalam kitab "Peringatan Bagi Mereka Yang Terpedaya" karangan Abu Al-Mawahib Abdul Wahab Bin Ahmad Bin Ali Al-Anshar (Asy-Sya'rani), bahawasanya untuk membuang sikap sombong dalam diri seseorang adalah dengan menziarahi orang sakit dan melawat jenazah. Perbuatan yang murni ini telah menyuburkan kebaikan hati orang yang beriman dan ulama salaf menjiwai perbuatan ini untuk menghindarkan sikap buruk yang ada dalam diri.

Ulama salaf apabila menziarahi jenazah, mereka akan cuba untuk tidak berbicara hal keduniaan malahan mereka tidak pun bercakap-cakap kerana melihatkan keadaan yang tidak kena dengan situasi yang serba kesedihan. Berbeza kini, yang mana ramai yang berborak-borak sehinggakan ada yang mengilai ketawa. 

Dalam satu hadis riwayat Ahmad (No hadis 10840): 

                        "Kunjungilah orang sakit dan hantarkalah jenazah ke kubur"

Ketika ulama salaf mengunjungi jenazah, mereka dilihat dalam situasi yang bersedih kerana ingatan mereka tenggelam dalam memikirkan bagaimanakah keadaan manusia di dalam kubur. Kesedihan ini dapat dilihat pada wajah mereka. Sehinggakan Yahya bin Abi Katsir, apabila kembali dari ziarah jenazah, seluruh tubuhnya terasa lemas sampaikan beliau tidak boleh berjalan. Terpaksa beliau berhenti sebentar bagi menenangkan hati dari perasaan takut yang dihadapinya.

Bercakap dengan meninggikan suara ketika berhadapan dengan jenazah amatlah tidak disukai oleh ulama, bahkan mereka sangat marah apabila ada orang yang meninggikan suara. Mereka mengatakan bahawa orang yang meninggikan suara adalah orang yang sombong kerana tidak mahu mengambil ibrah dari peristiwa kematian.

Abdullah bin Mas'ud ketika melihat ada orang ketawa dihadapan jenazah, beliau akan mengherdik orang itu dan menghukumnya. Begitu juga, apabila Hassan Basri melihat seorang lelaki sedang makan di atas kubur, beliau memerahi lelaki tersebut " Sesungguhnya kamu orang munafik".

Begitu pula Ibrahim Az-Ziat, apabila melihat seorang lelaki menangisi jenazah. Beliau berkata: " Menangislah untuk dirimu dan sayanglah akan jenazah itu. Ini kerana mayat itu telah melalui 3 perkara: 1. Melihat Malaikat Maut 2. merasakan kepedihan mati 3. aman dari suul khatimah dan ini berbeza dengan kamu."

Dapatkah disimpulkan bahawa, menziarahi jenazah adalah amalan yang dilakukan oleh orang-orang yang soleh. Apabila mereka mengunjungi jenazah, mereka bersungguh-sungguh dalam memikirkan keadaan mereka dalam alam kubur sehingga perasaan ketakutan meresapi jiwa mereka. Sebab itu, mereka begitu marah apabila melihat orang yang bercakap-cakap hal keduniaan kerana ditakuti juga perasaan sombong bersarang dalam diri. Sesungguhnya, seperti yang dikatakan oleh Hatim al-Asham "Ubat hati adalah dengan mengunjungi jenazah".

Dari Buku Studi Islam (Part 3): Doktrin Islam Yang Menimbulkan Kemerdekaan Dan Keberanian (3) - Prof Dr. Hamka

Jasa Khalifah Yang Empat
Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khatab, Usman Bin Affan, Ali Bin Abi Talib, Khalid bin Walid, Amer bin Ash, Sa'ad bin Abi Waqash, Mu'awiyah bin Abi Sufyan, Abu 'Ubaidah, Zubai bin Awwam dan lain-lain adalah nama-nama agung sebagai penegak Daulah Islamiyah. Saidina Abu Bakar adalah khalifah yang pertama dan dalam 2 tahun pemerintahannya, beliau berjaya mempersatukan kembali negara Islam yang nyaris berkubur oleh sekelompok yang menganjurkan "sparatisme". Kemunculan nabi-nabi palsu antaranya Musailamah seorang pembohong, Aswad Al Insyi, Malik bin Nuwairah dan nabi palsu wanita iaitu Sajjah binti Harith memberontak di setiap wilayah. Semua ini dapat diselesaikan oleh Saidina Abu Bakar dalam masa satu setengah tahun. Pada enam bulan yang kemudiannya, beliau menumpukan kepada pembukuan Al'Quran yang selama ini terpisah. Ada yang dicatat pada kulit unta, ada yang ditulis atas tulang unta dan ada juga dinotakan pada pucuk daun kurma. Tujuan pembukuan Al-Quran ini disebabkan ada keperluan yang mendesak kerana ramai penghafaz Al Quran syahid di medan perang dan sebab itu diperintahkan supaya dikumpukan menjadi Mushhaf.

Kedua-dua usaha dan amal yang dilakukan beliau sangatlah besar maknanya yang meninggalkan kesan yang besar dan agung dalam Islam sehinggalah kini.

Umar bin Khattab yang menggantikan Saidina Abu Bakar adalah seorang khalifah yang meninggalkan banyak manfaat dan digelar "Yang Mula-Mula". Beliaulah yang memperkenalkan Baitul Maal, juga membenarkan pemberian kuasa untuk hakim membuat keputusan. Beliau juga mengeluarkan harta baitul maal untuk diberikan kepada orang tua walaupun dari kafir zimmi, memperkenalkan stesen perhubungan pos dan yang pertama sekali menegakkan kekuasaan Islam yang tersebar luas melangkaui tanah arab, wilayah Parsi, Asia Tengah dan Afrika Utara. Sejarah telah memandangnya sebagai penegak Kerajaan Islam yang sebenar. 
Salah satu salinan asal Mushhaf Al Quran
yang disimpan di Mesir

Usman bin Affan meneruskan perjuangan dan pada zamannya perkara yang tidak selesai berjaya disempurnakan. Tentera Islam berjaya menakluki negara Cyprus. Jasanya yang paling terkenal adalah membangunkan kota Madinah, menyalin Al Quran yang disusun pada zaman Abu Bakar kepada beberapa buah dan dihantar ke Iraq, Mesir, Yaman, Syam dan satu untuk simpanan beliau. Sampai sekarang naskhah Al Quran yang dianggap sah adalah yang dinamakan dengan Mushhaf Utsmani atau Mushhaf Al Imam. Manakala naskhah-naskhah yang lain dilenyapkan, maka sebab itu Islam tidak mengalami masalah seperti kitab Injil yang mana ada catatan Matius, ada juga catatan Markus, juga catatan Lukas dan disamping itu ada juga catatan Yohannes.

Ali bin Abu Talib adalah khalifah yang keempat dan seorang khalifah yang besar. Sayang sekali pada masa beliau terjadi peperangan saudara di antara Ali dengan pengikut Mu'awiyah. Pengaruh Mu'awiyah menjadi besar dan akhiarnya Ali sendiri terbunuh ketika bersolat subuh di Kufah.

Jasa-jasa Sahabat Nabi Yang Lain
Muawiyah bin Abu Sufian adalah seorang penulis atau pencatat kepada baginda Nabi SAW. Beliaulah yang memulakan dinasti Umayyah yang di catatkan oleh orang Eropah sebagai Omayaden.

Sa'ad bin Abi Waqash namanya terkenal kerana Saidina Umar mengangkat beliau menjadi Panglima perang yang menakluk Parsi. Amer bin Ash pula dikenali sebagai penakluk negara Mesir. Abu Ubaidah pula terkenal kerana berjaya menakluk bumi Palestin. Manakala Khalid Bin Walid dikenali seorang pejuang Islam yang hebat.

Semua nama yang gemilang ini, umpama seorang pejuang kecil sahaja apabila berhadapan dengan baginda Nabi SAW. Tiada seorangpun yang mengangkat muka di hadapan baginda, kerana kuatnya cahaya kebesaran yang memancar dari tubuh baginda Nabi SAW yang menembusi dalam diri mereka. Walaupun dengan kewafatan Nabi SAW, merekalah pejuang-pejuang dan pembina sejarah yang tiada tolok bandingnya. Semangat mereka mengalir umpama aliran elektrik yang begitu dasyat menerobos kearah tentera-tentera Islam yang mereka pimpin. Sehinggakan dengan kelompok yang sedikit jumlahnya berjaya mengalahkan segerombolan kelompok yang berlipat kali ganda bilangannya dengan izin Allah!

Tuesday, June 25, 2013

Dari Buku Studi Islam (Part 2): Doktrin Islam Yang Menimbulkan Kemerdekaan Dan Keberanian (2) - Prof Dr. Hamka

Setelah larinya Andasyir, Panglima Perang Parsi iaitu Rustum atau Rustam diangkat sebagai pengganti untuk mempertahankan Parsi tetapi Rustum pun tidak dapat menandingi tentera Islam.

Mesir pula ditakluk oleh Amer Bin Ash yang mana Mesir pada masa itu adalah suatu daerah yang luas di bawah kekuasaan Muqauqis,
seorang raja muda yang menjadi wakil kepada kerajaan Byzantine. Sebelum mencecah 50 tahun kewafatan Nabi, Islam telah tersebar luas ke timur melalui Asia Tengah berterusan ke seberang sungai Sind dan Gangga. Pada masa itu, Muhammad Bin Kasim seorang pemuda berumur 17 tahun sangat dikenali sebagai Panglima Perang yang gagah lagi perkasa. Manakala di barat, Thariq bin Ziyyad mengepalai di wilayah Afrika Utara sehingga ke Sepanyol. Kapal yang digunakan untuk ke Sepanyol telah habis dibakarnya sambil berkata:

   "Lautan dibelakangmu, musuh dihadapanmu. Tiada lagi jalan pulang. Maka nasibmu ditentukan oleh keberanian ataupun kepengecutan!"

Sejak dari itu, Sepanyol telah ditakluki oleh tentera islam dan jadilah ia satu wilayah islam yang sampai sekarang ini dapat disaksikan dengan masjidnya berjumlah 1400 di Cordoba dan istana yang terkenal diseluruh dunia iaitu Alhambra di Granada.

Kita yang tidak mengetahui mengenainya pergilah ke Sepanyol dan lihatlah negeri Malaga, Marcia, Sevilla, Barcelona, Granada dan Cordoba. Walaubagaimanapun, semua itu telah berubah dan islam tidak menjadi utama disana, namun bekas tinggalan kebesaran Islam tidak lupus begitu sahaja.

Ketika saya bergerak dari Malaga ke Sevilla, di lapangan terbang Malaga, saya bertanya, yang mana satukah pintu yang perlu dilalui untuk ke Sevilla. Saya masih membaca sebagai yang tertulis: Sevilla! Tetapi orang Sepanyol yang jawabannya dalam bahasa Sepanyol bercampur Inggeris, menyebutkan Sevilla itu sebagai Asybilia, seakan sama dengan apa yang ditulis dalam bahasa dan huruf Arab: Asybiliah!

Ketika saya bermalam di sebuah hotel di Malaga, saya telah mendengar gadis Sepanyol bernyanyi seorang diri, lalu saya berkata sendirian:

  "Apakah ini Oum Kalthoum yang menyanyi lagu padang pasir dalam bahasa Sepanyol, atau gadis Sepanyol yang menyanyikan lagu Sepanyol dalam gaya Arab? Sebenarnya bukan itu, yang benarnya ialah bahawa kesenian Arab yang indah dibuat di Sepanyol, lalu ditinggalkan sebagai pusaka di tanah yang orang arab namakan sebagai "Al Firdausal Mafqud" (Syurga yang hilang) itu."

Kemudian setelah saya sampai di Morocco, saya mendengar muzik morocco dengan lagu-lagu yang masih mereka namai "Andalusia" dan iramanya tidak berubah dari apa yang saya dengar semasa di Malaga dahulu. 

Sekarang kita bertanya, "Ajaran apakah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, sehingga begitu cepat revolusi besar sampai ke seantero dunia? Ajaran apa yang dibawa Muhammad sehingga orang arab dapat mengalahkan Kerajaan Rom dan Parsi? Yang pada masa itu kedua-duanya adalah merupakan sebesar-besar kerajaan dunia!" Kita boleh membuat perumpamaan sekarang ini dengan membandingkan Libya (2 juta) mengalahkan Rusia (500 juta) dan Amerika (200 juta). - [tahun 1982]

Kita mengatakan mustahil Libya boleh mengalahkan Rusia. Tetapi orang islam Arab yang baru bangkit dalam jazirah arab yang meliputi seluruh tanah arab yang bersatu dalam akidah islam, belumlah cukup bilangannya 1 juta, sehingga dalam peperangan Mu'tah tentera islam yang berjumlah 3000 orang nyaris-nyaris dihancurkan oleh tentera Rom yang berjumlah 200 000 orang. Tiga panglima islam yang diangkat berganti-gantian gugur syahid lalu Khalid bin Walid diangkat menjadi pemimpin perang dan dialah yang dapat melepaskan baki tentera islam dengan selamat kembali ke Madinah dan waktu itulah Nabi SAW memberi gelaran kepadanya "Pedang Allah".

Marilah kita mengkaji satu demi satu sahabat-sahabat disekeliling Nabi SAW yang telah membina sejarah dan personaliti peribadi yang begitu hebat. Kalau di antara Nabi Isa Almasih dengan orang yang berada disekelilingnya dikenali sebagai pertalian guru dengan murid, maka pertalian Nabi SAW dengan pengikut-pengikutnya adalah pertalian sahabat dengan sahabat. Semua orang yang bertemu dengan Nabi SAW dan mengikut ajaran yang dibawanya adalah sahabatnya. Darjat mereka diangkat naik. Jadilah ia sahabat bukannya murid. Maka dengan ini pun telah menjadi asas penting bagi pendidikan jiwa pada orang-orang disekeliling Nabi SAW. Cintanya mereka kepada Nabi SAW, sehingga bekas air wuduk Nabi SAW pun jega direbut. Kalau duduk dihadapan baginda Nabi, mereka teramat khusyuk mendengar butir-butir hikmah yang keluar dari mulut Nabi SAW. Kalau ada musuh yang menganggu peribadi beliau, sahabat-sahabat ini yang dahulu bersedia mati sebelum musuh menyentuh nabi.

Seorang sahabat Nabi yang tidak terkenal ditangkap oleh orang Quraisy jahiliah. Ketika sahabat ini hendak dibunuh, mereka bertanya kepada sahabat Nabi ini:

  "Manakah engkau suka, lehermu dipancung sekarang atau engkau bebas dengan selamat. Tetapi hendaklah Muhammad menjadi pengganti lehermu untuk dipancung?"
  "Potonglah leherku sekarang juga, apa guna ditangguh lagi. Tetapi jangan engkau sebut Muhammad sebagai penggantiku. Tersentuh sedikit kulitnya sahaja, aku bersedia mati untuk memberikan rohku sebagai penebus beliau!" 

Demikian jawab sahabat itu.




Dari Buku Studi Islam (Part 1): Doktrin Islam Yang Menimbulkan Kemerdekaan Dan Keberanian (1) - Prof Dr. Hamka


Beberapa ahli fikir barat sejak abad pertengahan dahulu sehingga kini di antaranya ialah Thomas Carlyle, Gustave le Bon, Olswald Spengler dan terakhir adalah Arnold Toynbee dan beberapa penyelidik sejarah yang lain telah mengeluarkan pendapat dan hasil penyelidikan mereka yang tidak berprasangka, tentang hebatnya perubahan besar dan peranan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sebagai Pengasas Masyarakat Islam tidak boleh sekali lalu sahaja, kalau benar-benar ingin membina sejarah islam yang lengkap.
Haji Abdul Malik Karim Amrullah

Thomas Carlyle menamakan Nabi Muhammad SAW sebagai salah seorang pahlawan Pembangun Dunia yang dikira sebagai rentetan yang membawa kemajuan kemanusiaan.

Olswald Spengler telah menyebutkan bahawa kebudayaan dan peradaban saling bersambung bermula sejak dari peradaban Yunani Kuno yang kaya dengan falsafah sehingga kepada pembangunan Kebudayaan Barat Moden yang mana sebelumnya telah melalui proses Kebudayaan dan Peradaban yang dibangunkan Islam.
Islamlah yang menjadi pewaris kepada kebudayaan dan peradaban Yunani dan islamlah juga yang menjadi saluran paling penting bagi kebangkitan Eropah Barat Moden melalui peperangan salib. Ini terbukti dari peradaban dan kebudayaan yang ditinggalkan di Sepanyol pada 1492 setelah tidak lagi berkuasa disana.

Secara keseluruhan, penyelidik sejarah sangatlah kagum, mengapa satu bangsa nomad, badwi dan perompak yang tidak mempunyai sejarah, belum ada bangsa, yang dalam masa tidaj sampai 1/4 abad sesudah Nabi wafat sudah dapat mengalahkan 2 kerajaan gergasi iaiti Rom Timur di Byzantine dan kerajaan Parsi di Madain. Wilayah kedua-dua kerajaan besar ini jatuh satu demi satu sebagaimana jatuhnya bangunan dari kertas ke bawah taklukan Islam. Mesir dan Syria, dua semenanjung di bawah kuasa Rom dan pemerintahan Hercules itu sendiri berpusat di Syria (Damaskus) terpaksa meninggalkan negeri itu. Tak kala Nabi masih hidup, berlakulah peperangan Mu'tah yang mana kekuatan tentera islam sekitar 3000 orang hampir lenyap apabila menentang tentera Hercules yang jumlahnya hampir 200 000 orang. Selepas 10 tahun berlalu, kaisar tersebut terpaksa meninggalkan Syria kerana dia tidak dapat lagi membendung kebangkitan kuasa baru. Pada ketika berangkat untuk meninggalkan Syria, ia berkata:

       " Selamat tinggal Syria! Mungkin kami tidak kembali lagi!"

Palestin yang pada ketika itu menjadi pusat gereja kristian timur menyatakan yang Palestin telah ditakluki oleh kekuasaan Islam dan paderi besar kristian meminta supaya Saidina Umar sendiri hadir ke Palestin untuk penyerahan Palestin dari Paderi tersebut.

Demikian juga penaklukan Kerajaan Parsi, di mana Sa'ad Bin Abi Waqash ketika itu menjadi panglima islam telah datang menakluk negeri itu dari Kaisar Ardasyir. Semasa tentera islam datang menyerang Parsi, Ardasyir melarikan diri dari istana.

Monday, June 24, 2013

Krisis jerebu..musibah yang diseru


Lokasi di bahagian selatan dan pantai barat Malaysia sekarang ini menghadapi salah satu ujian yang bukannya tidak biasa kita menghadapinya. Kita sebenarnya telah melalui pengalaman mengharungi getir  kabus berpartikel ini dan kita mengetahui dengan mudah punca terjadinya malahan kita tahu bagaimana untuk mengatasi masalah jerebu ini. Cuma apabila kita telah diberikan nikmat, mudah juga kita terlalai dari mengambil ibrah sehingga memandang enteng kemampuan ciptaan Allah ini. 

Jerebu puncanya adalah asap. Bentuk asap yang bagaimana boleh menghasilkan jerebu? Keadaan asap yang dikeluarkan ke udara dalam skala yang besar boleh menjadi penyebab utama kepada jerebu. Oleh itu, apakah sumber utamanya? Antaranya adalah penghasilan asap kenderaan bermotor. Dengan jumlah kenderaan berjuta-juta berlingkar di atas jalanraya, pelepasan asap kenderaan sudah tentu tidak terkawal sehinggakan pada satu tahap tertentu kapasiti udara telah diisi dengan asap berjelaga ini. Begitu juga dengan pelepasan asap kotor dari cerobong-cerobong asap kilang yang tidak mempedulikan isu alam sekitar. Dua punca utama ini telah menjadi isu yang tidak berkesudahan walaupun tercatat pada buku-buku sains persekolahan. Banyak jurnal,  majalah dan kajian telah dijalankan bagi menerangkan pada khalayak. Banyak juga kempen-kempen kesedaran dalam media massa diwar-warkan, tetapi ianya diambil dengan sikap acuh tak acuh.
Pemandangan berjerebu di Kuala Lumpur
Kini muncul satu punca yang boleh menyebabkan gejala jerebu menjadi sangat dasyat iaitu kebakaran hutan, ladang pertanian dan yang seumpamanya. Sebab apa ia begitu dasyat. Sebab apabila kebakaran berlaku, ia berlaku dengan cepat, pantas dan kawasan yang dilaluinya sangat besar. Kawalan kepadanya sangat sukar malahan apabila cuaca panas dan kering, seolah-olah faktor cuaca ini mejadi agen dan proksinya. Bahananya bukan sahaja memusnahkan sumber kayunya yang bernilai jutaan ringgit tetapi melibatkan kehilangan penempatan dan nyawa. Krisis ini dihadapi oleh Amerika Syarikat. Menurut UCS (Union for Concerned Scientist) dimana dianggarkan kerugian sebanyak USD800 juta setahun di sekitar California. Menjadi lebih parah lagi adalah terhasilnya satu lagi krisis iaitu jerebu yang dilabelkan oleh UCS "bad air days" yang menyeliputi seluruh negara Amerika dan jirannya.

Inilah yang berlaku di sekitar negeri pantai barat dan selatan Malaysia. Jerebu yang teruk bukannya tidak pernah berlaku. Malaysia bukannya baru-baru ini sahaja menempuh krisis jerebu malahan telah acapkali pun berlaku. Malahan darurat pernah disytiharkan pada 1997 di Sarawak. Sekali lagi Jun 2013, darurat telah diiystiharkan iaitu di Muar dimana bacaan IPU telah mencecah 750. Begitu juga dengan dua bandar di Melaka iaitu Bandar Melaka dan Bukit Rambai. Jerebu yang berlaku berpunca dari kebakaran di perhutanan Riau dan Jambi, Sumatera.

Dikatakan yang terlibat adalah konglomerat-konglomerat Malaysia yang melabur dalam industri perladangan. Bukannya 1 syarikat, tetapi yang digemburkan adalah sebanyak 8 syarikat yang berkaitan dan dikaitkan dengan firma-firma tersebut. Mereka ini bukannya sehari dua menjalankan projek perladangan yang sudah tentu modalnya berjutaan ringgit. Mereka ini bukannya sehari dua berpengalaman bahkan mereka memiliki kepakaran-kepakaran, teknologi, peralatan, mesin, kajian penyelidikan dan produk terbaik dalam mengendalikan industri yang berskala besar. Mereka juga sudah tentu mempunyai kumpulan pengurusan yang hebat dengan visi, misi serta rancangan strategik yang agung malahan dibantu dengan tenaga kerja teknikal yang cukup mahir dalam tugasan yang penuh mencabar yang mendokong falsafah keharmonian dan keamanan. Mereka inilah juga yang saban tahun menjadi teras sokongan kepada kempen-kempen kehijauan    dan bertindak sebagai penaja dan membiayai program-program alam sekitar. Apakah ini belum cukup untuk menjamin mereka untuk tidak bertindak memanipulasi industri perladangan ini? Kalau itu tidak mampu menampung kerakusan yang mengganas, maka sudah tiba undang-undang diangkat sebagai tunjang untuk menjentik kewarasan kelompok yang egois ini.

Bermula persoalannya disini, jelas kelompok ini meletakkan kepentingan yang bersifat komersil -keperibadian mengatasi kemaslahatan awam. Pada mereka, buatlah dahulu dan kemudian pasanglah harapan mengunung supaya krisis itu tidak terjadi. Seolah-olah kelompok ini, menjadikan takdir Allah sebagai alasan bagi menutup kerakusan mereka. Kelompok ini tidak menyedari yang mereka ini dikenali. Apabila sesuatu yang dikenali dan berada diatas, sudah tentu menjadi perhatian pada masyarakat yang berada dibawah. Kejadian yang sebegini telah mengocak kesedaran kepada masyarakat bahawa perlu ada mekanisma untuk mengawasi setiap perancangan syarikat perladangan yang dikhuatiri menjadi faktor jerebu pada masa hadapan. Pihak yang berautoriti perlu membuat penyiasatan disamping menjalankan proses undang-undang kepada pihak yang bertanggungjawab. Malahan perlu memastikan syarikat yang terlibat mematuhi garis panduan yang  telah dikenalpasti. Jangan dibiarkan terjadi krisis seperti ini sekali lagi. Masyarakat telah menghadapinya dan kalau terjadinya sekali lagi itu adalah musibah yang sengaja dicari.




Saturday, June 22, 2013

Belenggu Harta..Melerai Punca Kuasa Simpulan..




Impian insan sentiasa mendambakan yang indah-indah. Kehendaknya ingin dipenuhi sepanjang masa dengan pengaruh, harta malahan kepopularan. Tidak berharta mengambarkan insan ini miskin, malas dan mungkin kurang bijak. Tidak dikenali bermakna tidak menjadi "figure" semasa serta dan bukanlan idola idaman. Tidak berpengaruh menunjukkan bukan tempat untuk meminta dan menjadi tabung simpati. Semua ini hanyalah simpulan dari pandangan sisi dunia semata. Pandangan yang menjadi kabus yang menutup lanskap pemandangan di horizon yang luas ciptaan Ilahi.

Kalaulah insan yang berharta ini dapat membuka simpulan tadi sudah tentu hartanya itu menjadi tali penyelematnya di akhirat nanti. Simpulan itu barangkali pada awalnya sukar dilepaskan. Akan tetapi, bagi insan yang sedar, sudah tentu ia mampu mencari punca. Untuk mencari punca memerlukan kesabaran yang tinggi. Itupun belum lagi pada ketika ingin meleraikan ikatan awal itu. Sudah tentu ikatan awal itu cukup kuat, sebab disitu punca kuasanya. Punca kuasa dari sudut yang cuba menahan sekiranya ada yang menguji untuk melepaskannya.

 Insan yang ingin membukanya perlu memulakan dengan mengharap bantuan Allah, maka didahului dengan menyebut nama Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Kemudiaannya dengan menggunakan usaha, tekad dan kudrat ia mula meleraikan simpulan tadi. Dengan kesabaran yang penuh, hati akan menjadi tenang walaupun usaha yang pertama tidak menjadi, usaha-usaha yang seterusnya dilakukan tanpa rasa marah dan juga tanpa keluhan, akibat dari rasa sukar yang mungkin dilepaskan tanpa sengaja. Jika terlerailah punca kuasa asal simpulan itu, simpulan yang lain menjadi mudah untuk dilepaskan.

Begitulah kuat pegangan dan simpulan nafsu harta. Sekiranya berjaya dilepaskan, kehendak kepada harta yang meruah akan mudah dilenturkan. Simpulan tali telah menjadi lurus selurus air yang mengalir dalam terusan yang lurus. Maka mudahlah harta mengalir turun. Harta dari yang kaya akan mengarus kepada yang miskin tanpa rasa ragu-ragu sebagaimana air tadahan dari atas mengalir kebawah.

 Sikaya hanya mengharapkan rahmat Allah yang menjadi sokongan dan alat bantuan kecemasan di "Yaumil Masyar".

Wassalam..

Friday, June 21, 2013

Terkenal Pada Yang Mengenali...



Insan diberikan Allah dengan pelbagai nikmat. Nikmat yang diberikan itu sangatlah luas. Nikmat itu kadang-kadang sangat ditagih oleh hambaNya yang sangat memerlukan sebaliknya nikmat yang dikurniakan olehNya yang tanpa pun perlu menagih tidak boleh dihitung banyaknya malahan diberikan dengan kerelaanNya sahaja. Begitulah "Ar-Rahman" Allah yang Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya.

Sementelaahan kepada siapa nikmat itu boleh diberikan kalaulah ada "calculator" yang mencongak pada jawapan positif sahaja sudah tentu hamba-hambaNya yang bertakwa sahaja yang mencekapi nikmat itu. Iaitu insan yang mengingatiNya sepanjang masa dan ketika, yang berkhemah diatas tikar sejadah, yang menabung pada bank sedekah,maka mereka ini sudah tentu menjadi "first eleven" dalam pasukan Allah.

 Akan tetapi, itu tidak pada sisi pandangan Allah SWT. Maha Pemurahnya Tuhan yang Satu mencangkupi seluruh ciptaanNya. Sebab itu, nikmat tidak dipisahkan dari hambaNya ataupun ditarik begitu sahaja malahan diberikan jua pada hamba-hambaNya walaupun mereka mencongak pada jawapan yang negatif.

Limpahan nikmat harta kekayaan kepada Qarun yang sombong membuktikan Allah tidak menyekat nikmat itu. Terkenalnya Qarun jua disebabkan terkena akan dia ujian harta yang mana harum namanya di dasar bumi yang menelannya. Kisah qarun menjadi ibrah pada manusia yang ingin mengambil iktibar. Insan yang tidak mensyukuri atas nikmat yang diberikan boleh melahirkan sifat buruk yang lain tanpa disedarinya. Sebab itu qarun tidak dapat melihat pada sisi keburukan itu akibat hatinya terkurung dengan nikmat yang banyak tanpa ia menyedari sikap bangga diri telah menjadi raja. Maka qarun dikenali pada sisi negatif dalam sejarah manusia yang terkenal di kalangan manusia.

Jikalau itu yang berlaku pada qarun, apakah tiada siapa yang terkenal walaupun diberikan nikmat hidupnya dalam keberkatan dan jaminan Allah. Lihat pada sahabat nabi Abdul Rahman Auf. Sahabat yang terkenal dengan kekayaan yang melimpah ruah tetapi kekayaan itu tidak menjadikan ia lalai pada jalan Allah. Malahan dengan hartanya itu dijadikan saham pahala yang berganda besarnya. Masakan tidak, ia pernah membahagi hartanya itu separuh kepada fakir miskin. Begitu juga dalam jalan menegakkan jalan fisabillah, ia telah menyediakan sehingga 500 ekor kuda perang bersama kelengkapan tempur kepada parajurit islam. Banyak lagi pengorbanan sahabat ini atas nikmat kekayaan yang ada padanya, namun tidak mengolong sahabat ini kepada orang yang sombong dan bangga diri. Bahkan ia juga melekatkan  kebencian dan takut kepada kekayaan yang boleh memesongkan dan mempengaruhi dirinya menjadi seperti qarun. Terkenalnya Abdul Rahman bin Auf ini oleh sisi positif dikalangan manusia.

Walaupun tabiin ini tidak dikenali di kalangan manusia, Uwais Al-Qarni ini begitu terkenal di kalangan penduduk langit yang sangat memujinya. Kisah hidupnya yang miskin disamping menjaga ibunya tidak menjadikan ia melupakan rasa rindunya kepada baginda nabi yang sangat dicintainya walaupun tidak pernah bertemu mata akan memetik getaran pada hati-hati orang yang beriman yang menyayangi Rasullullah SAW. Menguruskan seorang ibu yang uzur tidaklah dianggap sebagai bebanan tetapi ketaatan kepada ibunya serta cintanya pada baginda nabi maka Uwais Al-Qarni mendapat keistimewaan dari Rasullullah SAW. Berpesan nabi kepada Saidina Umar dan Saidina Ali supaya kelak mencari pemuda dari Yaman ini dan mintalah doa daripada pemuda ini. Maka sejak dari itu, sahabat-sahabat nabi ini sentiasa menuggu pedagang-pedagang dari Yaman yang singgah di Madinah. Sehingga pada ketika Saidina Umar menjadi khalifah, setelah kematian ibunya, Uwais ke Madinah dan disaat itulah sahabat nabi ini menemukan Uwais yang dikenalinya dari tanda-tanda yang diberitakan oleh baginda nabi. Lalu Saidina Umar yang ketika itu berjawatan Amirul Mukminin memujuk Uwais untuk mendoakan mereka.Umar kemudiaanya menawarkan bantuan kepada Uwais tetapi dengan hormatnya ia menolak dan menyatakan supaya jangan ia di agung-agungkan.

Bayangkanlah bagaimana hebatnya Uwais ini walaupun tidak dikenali, mendapat penghormatan yang begitu hebat dari khalifah. Namun, beliau tidak pula ingin pada penghormatan itu. Setelah itu Uwais berkelana dan namanya tidak lagi disebut dikalangan penduduk bumi tetapi terkenal hebatnya ia dikalangan penduduk langit.

Wassalam.




Thursday, June 20, 2013

Leburkan kesulitan hidup dengan kekuasaan Allah



Fadhilah Asy-Syeikh Muhamad Mutawalli Asy-Sya'rawi dalam kitabnya "Dari limpahan Ar-Rahman" telah menukilkan bahawasanya 

"ada pun orang yang menghadapi kehidupan dan kemusykilan-kemusykilannya dengan kekuatan pencipta kehidupan maka sesungguhnya dia mampu mengatasi seluruh kesulitan hidup"

Siapakah yang dikatakan sebagai "orang yang menghadapi kehidupan dan kemusykilan-kemusykilannya" ini? Sudah tentu mereka adalah insan yang bernyawa yang ruang hidupnya telah sedikit disempitkan yang  belum menemui jalan keluarnya. Insan ini mungkin datang dari pelbagai bangsa dan golongan. Ada yang miskin yang sudah tentu dihimpit kesusahan. Ada yang kaya, juga sedang ditimpa masalahnya. Kesukaran menghadapi kehidupan ini akan dirasai oleh semua insan lantaran  itu apakah tidak ada jalan keluarnya? 

Sudah tentu ada jalan keluarnya. Sebab itu, Asy-Syeikh Mutawalli menyatakan hanya insan yang mengingati Allah akan menganggap segala kemusykilan yang dihadapinya itu "kecil" sahaja, tidak sedikit pun mempengaruhi emosi ketenangannya. Akan tetapi jika insan yang menghadapi kemusykilan hidup hanya dengan bersandarkan pada dirinya sahaja atau pada insan lain sudah tentu ianya telah menambah kesulitan yang telah sedia ada kerana insan itu menghadapainya pada kudratnya yang sedang sedia lemah.

Oleh itu, insan yang tidak meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, Maha Kuat lagi Maha Bijaksana, insan ini merasa bimbang dalam menghadapi masalah-masalah tersebut.
Berbeza bagi insan yang sentiasa berzikir mengingati Allah, maka ketika melalui kelemahan dan kesulitan insan ini memperolehi kerehatan dan keberanian dengan iman. Asy-Syeikh memberikan contoh: seorang lelaki tidak memiliki kecuali 1 ringgit lalu yang 1 ringgit itu hilang dalam simpanannya. Lelaki ini sudah tentu tidak dapat mengatasi segala kemungkinan ini tanpa rasa kesedihan dan keduakaan kerana itu sahaja yang ada padanya. Berbanding pula dengan seorang lelaki yang hilang 1 ringgit dari beribu-ribu ringgit, maka lelaki ini tidaklah berdukacita.

Oleh yang demikian, semangat yang kuat hanya datang dari keteguhan iman daripada hati yang mengingati Allah yang tidak melemahkan insan dan tidak menjadikan insan itu putus asa dari ujian-ujian hidup. Insan yang mengatakan dirinya lemah sebelum benar-benar terbukti lemah adalah merupakan 1 kelemahan yang paling lemah.

Wassalam..


Wednesday, June 19, 2013

Saling Perlu Memerlukan…dalam perspektif kerja…part I

Benda yang hidup sudah tentu ada kehidupannya. Yang membangunkan kehidupannya adalah apa yang ada pada jajaran kelilingnya. Contohnya kawasan padang pasir, hanya ada pohon kaktus atau lopak air yang kering ,tidak ada tumbuhan hijauan dan tidak juga sungai. Maka  benda hidup dikawasan tersebut makanannya hanya apa-apa yang diperolehi pada yang sedikit itu.
Sebab itu, kehidupan akan hidup bergantung pada apa yang ada pada persekitarannya. Nyawanya bergantung pada bantuan persekitarannya.  Nyawannya memerlukan sokongan makanan yang ada pada persekitarannya.  Biawak pasir makan adalah “vegetarian” kerana ia makan tumbuh-tumbuhan padang pasir dan adalah ia berbeza pemakanannya dengan jenis biawak yang ada di asia tenggara.
Begitu juga manusia, yang perlu pada sokongan dan bantuan untuk hidup. Bagi yang bergelar pekerja, pekerjaannya yang menentukan apa yang ia perlu lakukan. Seorang “programmer”, tugasnya membuat “coding” untuk membina sistem aplikasi. Seorang arkitek, melukis dan melakar plan bangunan mengikut spesifikasi tertentu. Begitu juga jurutera mekanikal, memastikan supaya mesin automatic berfungsi dan bekerja dengan tahap optimum.
Apakah tanpa komputer, adakah seorang programmer boleh membuat aturcara program? Sudah tentu tidak kerana aturcara program memerlukan bukan sahaja komputer tetapi perisian untuk coding tersebut. Alatan sokongan ini diperlukan sebagai bantuan kepada tujuan kerja yang dilakukan. Jika diselidiki lebih mendalam lagi, perisian coding juga pelbagai. Contohnya, ada Visual Studio, Dreamweaver, Netbeans,Eclipse dan sebagainya. Variati yang pelbagai memberikan pilihan kepada programmer menyokong kepada pembangunan applikasi itu sendiri. Bagi programmer yang mahir dalam Java berkemungkinan perisian Netbeans atau Eclipse menjadi pilihan begitu juga pada programmer yang berkubang dengan VB, sudah tentu Visual Studio menjadi pilihan. Kesemuanya  pilihan ini akhirnya digunakan untuk membangun sistem aplikasi yang sama, Cuma alatannya berbeza.
Kesemua alatan sokongan ini menjadi bantuan yang vital kepada programmer  yang ianya adalah benda hidup. Tidak dapat tidak ia sangat diperlukan untuk kelangsungan dan kejayaan sesebuah aplikasi yang menentukan kewujudan syarikat yang tunjangnya pada programmer tadi.

Persoalan tadi membawa kepada persoalan yang lain. Sudah tentu applikasi tadi dibangunkan dengan perisian yang dipakai. Apakah perisian yang dipakai itu wujud dengan sendirinya atau ia dibangunkan oleh benda hidup jua. Sudah tentu perisian itu dibangunkan oleh benda hidup jua. Iaitu manusia yang membuat perisian untuk membangun perisian lain....