Wednesday, July 17, 2013

Darjat seorang pelaku maksiat

Sering berlaku berbeza pendapat apakah orang yang bertaubat mendapatkan semula darjatnya ataupun darjatnya menjadi lebih rendah daripada sebelum melakukan maksiat? Yang dimaksudkan dengan darjat ini adalah keimanan dan amal soleh

Ibn Qayyim menyatakan yang ulama mengeluarkan pelbagai pendapat yang mana:

1. Sama darjatnya
- Taubat seseorang itu telah menghapuskan kesemua dosanya seolah-olah ia tidak pernah melakukan dosa tersebut. Golongan ini menyatakan taubat itu adalah satu kebaikan dan amal soleh yang besar. Jikalau dosanya telah menyebabkan darjatnya jatuh rendah, maka kebaikan dari bertaubat itu akan mengangkatnya ke darjat itu semula. Diberikan perumpamaan, seorang yang jatuh kedalam perigi, apabila ada tali pertolongan yang mana dia memegang pada tali tersebut sehingga dia boleh naik semula keatas, maka begitulah juga taubat dan amal soleh.

2. Tidak sama darjatnya
- tidak kembali kepada darjatnya kerana dia berada dalam keadaan mendaki, bukannya berhenti. Dosanya menyebabkan dia turun jatuh. Apabila dia bertaubat semula, dia sudah kehilangan jarak dari sepatut yang didakinya. Golongan ini memberikan pandangan sebagaimana kedudukannya seseorang itu seumpama dua lelaki yang sedang berjalan dalam satu perjalananyang sama. Kemudian itu, salah seorang dari mereka berpatah balik atau berhenti disebabkan satu perkara terjadi. Apabila orang yang berpatah balik ini menyambung semula perjalanannya, jarak dia untuk mengejar sahabatnya telah pun jauh. Sahabat yang pertama tadi telah berjalan dengan kekuatan iman dan amalan solehnya akan tetapi orang tadi kekuatan perjalanan da keimanannya menjadi lemah kerana ia berhenti atau pun berpatah balik tadi.

Ibn Tamiyyah menceritakan pendapat-pendapat ini dan kemudian beliau menyatakan "Sebenarnya terdapat di kalangan orang yang bertaubat akan kembali kepada darjat yang asal dan juga ada yang tidak kembali ke darjat yang asal, bahkan ada di kalangan mereka memperolehi darjat yang lebih tinggi dari darjat asal sehingga lebih baik darjatnya sebelum melakukan dosa". Umpama Nabi Daud A.S mendapat darjat yang lebih baik daripada darjat sebelum melakukan kesalahan.

Kesemuanya bergantung kepada keadaan seorang dengan kesungguhannyam keazamannya dan waspadanya. 

No comments:

Post a Comment