Monday, July 29, 2013

3 Perkara Dalam 3 Perkara


Menurut Imam Ja'far As-Saddiq, Allah menyembunyikan tiga perkara dalam tiga perkara iaitu:

1. Allah sembunyikan sifar keredhaanNya di dalam ketaatan kepadaNya - Janganlah engkau menghina seseorang yang sentiasa patuh dan taat dalam melaksanakan perintah Allah. Kerana boleh jadi keredhaan Allah terdapat padanya.

2. Allah menyembunyikan kemurkaanNya di dalam penderhakaan kepadaNya - Janganlah memandang ringan dan ambil sambil lewa atas penderhakaan kamu kepada Allah, kerana barangkali Allah belum lagi menunjukkan kemurkaanNya kepada kamu. Begitu pengasih Allah kepada hambanya dan hanya mereka yang memikir ayat-ayat Allah mendapat redha Allah.

3. Allah menyembunyikan waliNya di kalangan hamba-hambaNya - Oleh itu, jangalah kamu berlaku zalim kepada seorang pun dari kalangan hamba-hambaNya, kerana boleh jadi wali Allah terdapat dikalangan mereka.

Wednesday, July 17, 2013

Darjat seorang pelaku maksiat

Sering berlaku berbeza pendapat apakah orang yang bertaubat mendapatkan semula darjatnya ataupun darjatnya menjadi lebih rendah daripada sebelum melakukan maksiat? Yang dimaksudkan dengan darjat ini adalah keimanan dan amal soleh

Ibn Qayyim menyatakan yang ulama mengeluarkan pelbagai pendapat yang mana:

1. Sama darjatnya
- Taubat seseorang itu telah menghapuskan kesemua dosanya seolah-olah ia tidak pernah melakukan dosa tersebut. Golongan ini menyatakan taubat itu adalah satu kebaikan dan amal soleh yang besar. Jikalau dosanya telah menyebabkan darjatnya jatuh rendah, maka kebaikan dari bertaubat itu akan mengangkatnya ke darjat itu semula. Diberikan perumpamaan, seorang yang jatuh kedalam perigi, apabila ada tali pertolongan yang mana dia memegang pada tali tersebut sehingga dia boleh naik semula keatas, maka begitulah juga taubat dan amal soleh.

2. Tidak sama darjatnya
- tidak kembali kepada darjatnya kerana dia berada dalam keadaan mendaki, bukannya berhenti. Dosanya menyebabkan dia turun jatuh. Apabila dia bertaubat semula, dia sudah kehilangan jarak dari sepatut yang didakinya. Golongan ini memberikan pandangan sebagaimana kedudukannya seseorang itu seumpama dua lelaki yang sedang berjalan dalam satu perjalananyang sama. Kemudian itu, salah seorang dari mereka berpatah balik atau berhenti disebabkan satu perkara terjadi. Apabila orang yang berpatah balik ini menyambung semula perjalanannya, jarak dia untuk mengejar sahabatnya telah pun jauh. Sahabat yang pertama tadi telah berjalan dengan kekuatan iman dan amalan solehnya akan tetapi orang tadi kekuatan perjalanan da keimanannya menjadi lemah kerana ia berhenti atau pun berpatah balik tadi.

Ibn Tamiyyah menceritakan pendapat-pendapat ini dan kemudian beliau menyatakan "Sebenarnya terdapat di kalangan orang yang bertaubat akan kembali kepada darjat yang asal dan juga ada yang tidak kembali ke darjat yang asal, bahkan ada di kalangan mereka memperolehi darjat yang lebih tinggi dari darjat asal sehingga lebih baik darjatnya sebelum melakukan dosa". Umpama Nabi Daud A.S mendapat darjat yang lebih baik daripada darjat sebelum melakukan kesalahan.

Kesemuanya bergantung kepada keadaan seorang dengan kesungguhannyam keazamannya dan waspadanya. 

Monday, July 8, 2013

Ramadan bulan pilihan Allah

Ramadan kareem,
 
 
Bulan Ramadan adalah bulan peningkatan iman yang mana seorang hamba menyatakan keikhlasan kepada penciptanya. Keikhlasan yang benar-benar tulen perlu digali dengan kaedah menyucikan rohani daripada penyakit-penyakit hati termasuklah penyakit dusta dan sebagainya. Sebab itu, Ramadan juga dikenali sebagai bulan kesucian dan proses kesucian dalam bulan Ramadan ini menatijahkan kesan penyucian jiwa yang berterusan sepanjang masa.
 
Dengan Allah memilih Ramadan sebagai bulan yang barokah, manusia dapat menyaksikan teladan-teladan hidup yang dilaksanakan dalam bulan Ramadan akan terlihat pada bulan-bulan yang lain. Lalu insan ini akan menghidupkan dan menempuh bulan-bulan tersebut tanpa melakukan amalan-amalan buruk tadi.
 
Sesungguhnya Allah memilih salah satu waktu untuk mendidik hambanya atas kemanisan taklif. Sekiranya manusia memahami akan pemilihan dari Allah SWT berbanding pemilihan manusia, nescaya manusia akan mengetahui perbezaan yang amat tinggi. Maka sebab itu, pilihan Allah SWT terhadap sesuatu perkara hanyalah semata-mata untuk disebarkan kepada seluruh makhluknya. Allah memilih bulan Ramadan sebagai bulan yang diturunkan Al Quran yang membawa ayat-ayat Allah; adalah untuk disebarkan pada setiap zaman.
 
Ramadan yang dipilih Allah adalah bulan untuk manusia menyucikan dan memperbaiki diri untuk Allah. Ramadan dijadikan bulan untuk memberikan kesempatan kepada manusia menjalani proses penyucian secara berterusan.
 


Saturday, July 6, 2013

Makna Puasa

Disebutkan oleh Al-Sheikh Prof. Dr Qardawi, terdapat beberapa kategori puasa iaitu:

1. Puasa perut
    Dinamakan puasa perut disebabkan tidak makan dan juga tidak minum

2. Puasa kemaluan
    Yang dimaksudkan dengan puasa kemaluan adalah tidak melakukan hubungan yang dihalalkan antara   suami dan isteri pada siang hari bulan Ramadhan

3. Puasa sebenar
    Puasa yang sebenar adalah seluruh anggota badan tidak melakukan sebarang perkara yang mengundang kepada maksiat. Contohnya: 
  • mata : tidak melihat perkara maksiat, 
  • telinga:  dijaga dari mendengar perkara yang dilarang, 
  • mulut : dibataskan daripada berkata-kata pada perkara yang ditegah,
  • kaki : dijaga supaya tidak melangkah ketempat maksiat
Seorang hamba perlu memastikan seluruh anggota badannya sanggup berpuasa, bukan sebahagian anggotanya sahaja yang berpuasa. Lihatlah secara mendalam dimana dihalalkan makan dan minum kepada hambaNya, tidak dijamah makanan itu kerana memikirkan yang ia sedang berpuasa. 

Pada waktu sebelum Ramadan, Baginda Nabi SAW memperuntukkan setengah malam untuk melaksanakan solat malam. Tetapi pada 10 malam terakhir Ramadhan, baginda bangkit mengerjakan solat sepanjang malam. 

Marilah kita merenung kata hikmah dari Dr Yusof Qardawi iaitu 

 "Perut kamu sanggup berpuasa daripada makanan dan minuman yang dihalalkan oleh Allah SWT, sedangkan anggota badan kamu yang lain berbuka dengan kemaksiatan yang telah diharamkan oleh Allah SWT"

Berdoalah supaya kita tidak digolongkan dalam golongan orang-orang berpuasa tetapi berbuka dengan kemaksiatan ini.

Mengumpat..kaedah bertaubat dari pandangan Islam

Mengumpat adalah satu daripada sifat tercela yang dimurkai Allah SWT. Apakah orang yang mengumpat ini perlu bertaubat dan sekiranya ia perlu melakukan taubat, bagaimanakah kaedah taubatnya itu? Begitu juga persoalan apakah perlu ia menjelaskan umpatan secara jelas kepada orang yang diumpatnya atau bolehkan ia hanya menyatakan secara umum tentang kesalahannya sebagai salah satu isyarat terima taubatnya?

Ulama meletakkan 3 pandangan seperti yang dinyatakan oleh Al-Sheikh Prof. Dr Qardawi. Imam Ahmad dalam masalah Qazaf berpendapat dimana perlu menjelaskan dan memohon pelepasan dari orang yang diqazafnya dalam masalah umpat dan cerca.

Pendapat mazhab syafie, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik juga mensyaratkan supaya orang yang diumpatnya perlu diberitahu serta memohon pelepasan seperti yang disebutkan oleh pengikut mereka dalam kitab-kitab. Mereka berhujah yang dosa tersebnt adalah hak manusia. Selagi ia tidak dihalalkan oleh tuannya, selagi itulah ia tidak gugur.

Disyaratkan juga supaya dinyatakan secara jelas satu persatu pada orang yang tidak mahu memberi pengampunan disebabkan ia menyangkakan sekiranya tidak diberitahu secara mendalam umpatannya kemungkinana tidak dihalalkan. Sebagai contoh, "Saya telah mengumpat kamu selama 5 tahun". Boleh jadi orang yang mengumpat tidak dihalalkan umpatannya kerana ia telah melakukan umpatan itu berkali-kali dan bertahun-tahun mengumpat.

Kesalahan yang dilakukan terdapatnya padanya 2 hak iaitu, hak kepada Allah dan hak kepada manusia. Bertaubat dengan cara memohon dilepaskan adalah hak manusia manakala penyesalan antarnya dengan Allah adalah hak Allah SWT. Maka itu, orang yang membunuh tidak diterima taubatnya sekiranya tidak mendapatkan pelepasan dari wali damnya...

Monday, July 1, 2013

Dari Buku Studi Islam (Part 4): Doktrin Islam Yang Menimbulkan Kemerdekaan Dan Keberanian (4) - Prof Dr. Hamka


Apakah yang baginda Nabi pujukkan kepada pengikutnya sehingga mereka menjadi begitu berani menghadapi maut? Apakah yang mereka pertahankan?

Percaya kepada Allah
Ajaran yang dibawa baginda Nabi apabila dibincangkan sederhana sahaja, tetapi apabila difikirkan ia sangatlah mendalam. Teras ajaran Rasullullah SAW adalah kata sederhana yang kita gunakan setiap hari iaitu I S L A M. Dalam bahasa arab, kalimat ini bererti menyerahkan diri sepenuhnya untuk kepentingan TUHAN, setelah mengetahui siapa Tuhan! iaitu Tuhan ialah Zat Mahakuasa yang Mencipta Alam yang hanya kepadaNya sahaja kita harus tunduk.

Itulah Allah, Al-Khaliq, Pencipta. Itulah Allah, Al-Qadir; Yang Maha Kuasa Menentukan. Itulah Ar-Rahman, yang penuh Kasih; itulah Allah Ar-Rahim, yang penuh menyayangi! Itulah Allah, yang hanya kepadaNya saja wajah harus ditundukkan. Segala yang ada ini semuanya, ialah makhluk ciptaan Allah. Hati hendaklah ditujukan kepada Allah itu sendiri!. DIAlah tempat berlindung dan DIAlah tempat bermohon. DIAlah tempat memuja. Manusia harus bebas, merdeka dari segala pengaruh yang berada di dalam alam ini. Pengaruh yang diakui hanayalah pengaruh Allah. Perintah yang ditaati hanyalah perintah Allah.

Bukanlah dengan hanya mempercayai Allah itu ada bahkan kepercayaan harus disertai dengan kecintaan yang hanya dapat dipupuk dengan ibadat solat, puasa dan lain-lain. Kepercayaan kepada Allah harus disertai  dengan pengabdian. Bahkan hidup itu sendiri hendaklah menjadi pengabdian belaka, pengabdian kepada Allah dan melaksanakan amal soleh sesama manusia kerana manusia itu sendiri adalah hamba Allah. 

Pokok ajaran Islam ini dapat disimpul dalam kalimah terkenal berikut:


Dari Allah kita ini datang ke dunia. Dengan jaminan Allah kita hidup di dunia. Allah turunkan kita ke dunia juga di atas IradahNya sendiri agar kita dapat mengerjakan amal soleh. Sesudah kita mati, kita kembali kepada Allah. Di sana kita akan dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan yang pernah kita lakukan di dunia ini.

Kemerdekaan dalam Islam
Akan hilang kebebasan dan kemerdekaan jiwa sekiranya rasa takut telah menguasai jiwa. Akan tetapi, rasa takut kepada apa jua bentuk akan terhapus dengan kalimah La ilaha Illah Lah. Kerana naluri itu hanya ditujukan kepada Allah sahaja. Sementara lawan kepada kemerdekaan adalah penghambaan atau Sklaven Geist (slave spirit). 
Penghambaan pula bukanlah dimaksudkan sebagai tangan terbelenggu atau kemerdekaan dirampas dan dipenjarakan, sementelahan pula bukanlah kemerdekaan itu seperti salah satu ciri khas yang disebutkan dalam "Declaration of Human Rights" (Hak-hak asasi manusia) iaitu manusia punya kebebasan berpindah ke negeri lain ataupun bebas tinggal dirumahnya dengan dilindungi oleh undang-undang. Kemerdekaan yang seperti itu hanyalah sisa-sisa tinggalan kemerdekaan yang murah harganya malahan boleh menghilang dengan pantas.


Kemerdekaan yang sejati adalah bahawa seseorang itu menguasai dirinya, hawa nafsunya serta juga mengetahui petunjuk-petunjuk yang memberikan kebaikan ataupun keburukan yang bersarang dalam dirinya.
Kemerdekaan yang sejati juga adalah sesorang itu tidak dikuasai oleh adat dan kebiasaan yang tidak sesuai setelah dipertimbangkan dengan akalnya yang murni serta juga kehidupan seseorang itu tidak musnah dek hanya mengikut dorongan  nafsu syahwat yang bergelojak.