Saturday, November 30, 2013

Melazimi Surah AL-Ikhlas



Ada kaitan yang kuat di antara 2 surah lazim ini bagi meneguhkan tauhid yang membezakan Islam dan agama lain. Surah Al-Kafirun dan Surah Al-Ikhlas bacaan yang biasa dibaca dalam solat. Biasanya surah Al-Ikhlas dibaca pada rakaat yang ke-2 dan ramai yang membacanya disebakan ia mudah. Malahan dihafal oleh semua peringkat orang samada kecil atau pun besar. Kalaulah mereka mengetahui besarnya kelebihan surah ini lalu menghayati tujuan ia membacanya, maka sudah tentu surah ini menjadi amalan harian mereka.

Sebab itu semasa zaman nabi, ada sahabat yang mengimani solat mengerap bacaan surah Al-Ikhlas ini. Apabila sahabat yang lain mengikuti ia dan amalan ini diamalkan setiap kali solat maka ada sahabat yang kurang berpuas hati. Sedangkan sahabat ini cukup terhormat tetapi bacaan surah tidak berubah lalu hal ini disampaikan kepada pengetahuan baginda Nabi. Maka, Rasulullah menyuruh bertanya kepada sahabat itu semula. Lalu sahabat itu menyatakan bahawa ia melazimi bacaan surah itu kerana dalamnya membicarakan sifat-sifat Allah.

Ada satu kisah dimana Rasullullah sedang berjalan melepasi satu jemaah yang sedang membaca surah Al-Ikhlas, lalu baginda menyebut "masuklah". Maka sahabat-sahabat bertanya, masuk kemana Rasullullah lalu baginda menjawab, "jannah".

Begitu besar makna surah ini bagi mereka yang mengetahui. Maka sama-samalah menjadikan surah Al-Ikhlas ini amalan harian walau dimana berada.

Friday, November 29, 2013

7 Golongan Peroleh Naungan




Banyak ceramah dan kuliah agama yang disyarahkan oleh Ustaz akan menyentap lubuk emosi jemaah apabila hadis yang menyentuh tentang rahmat Allah yang diberikan kepada hambanya secara terus. Hadis yang dibawa oleh Abu Hurairah seperti dibawah: 

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tujuh golongan Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya. Pertama : Imam yang adil. Kedua : Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah. Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan masjid. Keempat : Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah. Kelima : Insan yang diajak oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata : ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’. Keenam : Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya. Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya.” (Hadis muttafaq `alaih


1. Imam yang adil
2. Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah
3. Insan yang hatinya terpaut dengan masjid
4. Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah
5.  Insan yang diajak oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata : ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’
6. Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya
7.  Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya

Monday, November 11, 2013

Pendapat Al-Qardawi Berkenaan Penerimaan Taubat Pada Perbuatan Dosa Yang Bersamaan





Dalam isu adakah taubat pelaku dosa yang melakukan dua perkara dosa yang bersamaan telah dijawab oleh Al_Qardawi dalam kitab "Astagfirullah, AmpunanMu, Ya Allah aku harapkan".
Sekiranya pelaku dosa melakukan dosa kaum Nabi Lut dan pada masa yang masih melakukan zina, lalu hamba ini bertaubat dari perbuatan kaum Lut, menurut Al-Qardawi adalah taubat hamba ini diterima oleh Allah walaupun keinginannya rendah untuk bertaubat dari perbuatan zina.

Begitu juga, hamba yang bertaubat dari riba An-Nasiah,, taubatnya masih diterima walaupun hamba ini meneruskan amalan riba Al-Fadhl. Sama juga, pada hamba yang bertaubat dari memfitnah dan mengumpat, taubat terhadap fitnah itu diterima sekalipun hamba ini bercakap dusta dan suka mencaci.

Menurut beliau, taubat ini sah kerana taubat itu sendiri adalah kebaikan, malahan satu kebaikan yang besar

Monday, July 29, 2013

3 Perkara Dalam 3 Perkara


Menurut Imam Ja'far As-Saddiq, Allah menyembunyikan tiga perkara dalam tiga perkara iaitu:

1. Allah sembunyikan sifar keredhaanNya di dalam ketaatan kepadaNya - Janganlah engkau menghina seseorang yang sentiasa patuh dan taat dalam melaksanakan perintah Allah. Kerana boleh jadi keredhaan Allah terdapat padanya.

2. Allah menyembunyikan kemurkaanNya di dalam penderhakaan kepadaNya - Janganlah memandang ringan dan ambil sambil lewa atas penderhakaan kamu kepada Allah, kerana barangkali Allah belum lagi menunjukkan kemurkaanNya kepada kamu. Begitu pengasih Allah kepada hambanya dan hanya mereka yang memikir ayat-ayat Allah mendapat redha Allah.

3. Allah menyembunyikan waliNya di kalangan hamba-hambaNya - Oleh itu, jangalah kamu berlaku zalim kepada seorang pun dari kalangan hamba-hambaNya, kerana boleh jadi wali Allah terdapat dikalangan mereka.

Wednesday, July 17, 2013

Darjat seorang pelaku maksiat

Sering berlaku berbeza pendapat apakah orang yang bertaubat mendapatkan semula darjatnya ataupun darjatnya menjadi lebih rendah daripada sebelum melakukan maksiat? Yang dimaksudkan dengan darjat ini adalah keimanan dan amal soleh

Ibn Qayyim menyatakan yang ulama mengeluarkan pelbagai pendapat yang mana:

1. Sama darjatnya
- Taubat seseorang itu telah menghapuskan kesemua dosanya seolah-olah ia tidak pernah melakukan dosa tersebut. Golongan ini menyatakan taubat itu adalah satu kebaikan dan amal soleh yang besar. Jikalau dosanya telah menyebabkan darjatnya jatuh rendah, maka kebaikan dari bertaubat itu akan mengangkatnya ke darjat itu semula. Diberikan perumpamaan, seorang yang jatuh kedalam perigi, apabila ada tali pertolongan yang mana dia memegang pada tali tersebut sehingga dia boleh naik semula keatas, maka begitulah juga taubat dan amal soleh.

2. Tidak sama darjatnya
- tidak kembali kepada darjatnya kerana dia berada dalam keadaan mendaki, bukannya berhenti. Dosanya menyebabkan dia turun jatuh. Apabila dia bertaubat semula, dia sudah kehilangan jarak dari sepatut yang didakinya. Golongan ini memberikan pandangan sebagaimana kedudukannya seseorang itu seumpama dua lelaki yang sedang berjalan dalam satu perjalananyang sama. Kemudian itu, salah seorang dari mereka berpatah balik atau berhenti disebabkan satu perkara terjadi. Apabila orang yang berpatah balik ini menyambung semula perjalanannya, jarak dia untuk mengejar sahabatnya telah pun jauh. Sahabat yang pertama tadi telah berjalan dengan kekuatan iman dan amalan solehnya akan tetapi orang tadi kekuatan perjalanan da keimanannya menjadi lemah kerana ia berhenti atau pun berpatah balik tadi.

Ibn Tamiyyah menceritakan pendapat-pendapat ini dan kemudian beliau menyatakan "Sebenarnya terdapat di kalangan orang yang bertaubat akan kembali kepada darjat yang asal dan juga ada yang tidak kembali ke darjat yang asal, bahkan ada di kalangan mereka memperolehi darjat yang lebih tinggi dari darjat asal sehingga lebih baik darjatnya sebelum melakukan dosa". Umpama Nabi Daud A.S mendapat darjat yang lebih baik daripada darjat sebelum melakukan kesalahan.

Kesemuanya bergantung kepada keadaan seorang dengan kesungguhannyam keazamannya dan waspadanya. 

Monday, July 8, 2013

Ramadan bulan pilihan Allah

Ramadan kareem,
 
 
Bulan Ramadan adalah bulan peningkatan iman yang mana seorang hamba menyatakan keikhlasan kepada penciptanya. Keikhlasan yang benar-benar tulen perlu digali dengan kaedah menyucikan rohani daripada penyakit-penyakit hati termasuklah penyakit dusta dan sebagainya. Sebab itu, Ramadan juga dikenali sebagai bulan kesucian dan proses kesucian dalam bulan Ramadan ini menatijahkan kesan penyucian jiwa yang berterusan sepanjang masa.
 
Dengan Allah memilih Ramadan sebagai bulan yang barokah, manusia dapat menyaksikan teladan-teladan hidup yang dilaksanakan dalam bulan Ramadan akan terlihat pada bulan-bulan yang lain. Lalu insan ini akan menghidupkan dan menempuh bulan-bulan tersebut tanpa melakukan amalan-amalan buruk tadi.
 
Sesungguhnya Allah memilih salah satu waktu untuk mendidik hambanya atas kemanisan taklif. Sekiranya manusia memahami akan pemilihan dari Allah SWT berbanding pemilihan manusia, nescaya manusia akan mengetahui perbezaan yang amat tinggi. Maka sebab itu, pilihan Allah SWT terhadap sesuatu perkara hanyalah semata-mata untuk disebarkan kepada seluruh makhluknya. Allah memilih bulan Ramadan sebagai bulan yang diturunkan Al Quran yang membawa ayat-ayat Allah; adalah untuk disebarkan pada setiap zaman.
 
Ramadan yang dipilih Allah adalah bulan untuk manusia menyucikan dan memperbaiki diri untuk Allah. Ramadan dijadikan bulan untuk memberikan kesempatan kepada manusia menjalani proses penyucian secara berterusan.
 


Saturday, July 6, 2013

Makna Puasa

Disebutkan oleh Al-Sheikh Prof. Dr Qardawi, terdapat beberapa kategori puasa iaitu:

1. Puasa perut
    Dinamakan puasa perut disebabkan tidak makan dan juga tidak minum

2. Puasa kemaluan
    Yang dimaksudkan dengan puasa kemaluan adalah tidak melakukan hubungan yang dihalalkan antara   suami dan isteri pada siang hari bulan Ramadhan

3. Puasa sebenar
    Puasa yang sebenar adalah seluruh anggota badan tidak melakukan sebarang perkara yang mengundang kepada maksiat. Contohnya: 
  • mata : tidak melihat perkara maksiat, 
  • telinga:  dijaga dari mendengar perkara yang dilarang, 
  • mulut : dibataskan daripada berkata-kata pada perkara yang ditegah,
  • kaki : dijaga supaya tidak melangkah ketempat maksiat
Seorang hamba perlu memastikan seluruh anggota badannya sanggup berpuasa, bukan sebahagian anggotanya sahaja yang berpuasa. Lihatlah secara mendalam dimana dihalalkan makan dan minum kepada hambaNya, tidak dijamah makanan itu kerana memikirkan yang ia sedang berpuasa. 

Pada waktu sebelum Ramadan, Baginda Nabi SAW memperuntukkan setengah malam untuk melaksanakan solat malam. Tetapi pada 10 malam terakhir Ramadhan, baginda bangkit mengerjakan solat sepanjang malam. 

Marilah kita merenung kata hikmah dari Dr Yusof Qardawi iaitu 

 "Perut kamu sanggup berpuasa daripada makanan dan minuman yang dihalalkan oleh Allah SWT, sedangkan anggota badan kamu yang lain berbuka dengan kemaksiatan yang telah diharamkan oleh Allah SWT"

Berdoalah supaya kita tidak digolongkan dalam golongan orang-orang berpuasa tetapi berbuka dengan kemaksiatan ini.