Monday, July 1, 2013

Dari Buku Studi Islam (Part 4): Doktrin Islam Yang Menimbulkan Kemerdekaan Dan Keberanian (4) - Prof Dr. Hamka


Apakah yang baginda Nabi pujukkan kepada pengikutnya sehingga mereka menjadi begitu berani menghadapi maut? Apakah yang mereka pertahankan?

Percaya kepada Allah
Ajaran yang dibawa baginda Nabi apabila dibincangkan sederhana sahaja, tetapi apabila difikirkan ia sangatlah mendalam. Teras ajaran Rasullullah SAW adalah kata sederhana yang kita gunakan setiap hari iaitu I S L A M. Dalam bahasa arab, kalimat ini bererti menyerahkan diri sepenuhnya untuk kepentingan TUHAN, setelah mengetahui siapa Tuhan! iaitu Tuhan ialah Zat Mahakuasa yang Mencipta Alam yang hanya kepadaNya sahaja kita harus tunduk.

Itulah Allah, Al-Khaliq, Pencipta. Itulah Allah, Al-Qadir; Yang Maha Kuasa Menentukan. Itulah Ar-Rahman, yang penuh Kasih; itulah Allah Ar-Rahim, yang penuh menyayangi! Itulah Allah, yang hanya kepadaNya saja wajah harus ditundukkan. Segala yang ada ini semuanya, ialah makhluk ciptaan Allah. Hati hendaklah ditujukan kepada Allah itu sendiri!. DIAlah tempat berlindung dan DIAlah tempat bermohon. DIAlah tempat memuja. Manusia harus bebas, merdeka dari segala pengaruh yang berada di dalam alam ini. Pengaruh yang diakui hanayalah pengaruh Allah. Perintah yang ditaati hanyalah perintah Allah.

Bukanlah dengan hanya mempercayai Allah itu ada bahkan kepercayaan harus disertai dengan kecintaan yang hanya dapat dipupuk dengan ibadat solat, puasa dan lain-lain. Kepercayaan kepada Allah harus disertai  dengan pengabdian. Bahkan hidup itu sendiri hendaklah menjadi pengabdian belaka, pengabdian kepada Allah dan melaksanakan amal soleh sesama manusia kerana manusia itu sendiri adalah hamba Allah. 

Pokok ajaran Islam ini dapat disimpul dalam kalimah terkenal berikut:


Dari Allah kita ini datang ke dunia. Dengan jaminan Allah kita hidup di dunia. Allah turunkan kita ke dunia juga di atas IradahNya sendiri agar kita dapat mengerjakan amal soleh. Sesudah kita mati, kita kembali kepada Allah. Di sana kita akan dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan yang pernah kita lakukan di dunia ini.

Kemerdekaan dalam Islam
Akan hilang kebebasan dan kemerdekaan jiwa sekiranya rasa takut telah menguasai jiwa. Akan tetapi, rasa takut kepada apa jua bentuk akan terhapus dengan kalimah La ilaha Illah Lah. Kerana naluri itu hanya ditujukan kepada Allah sahaja. Sementara lawan kepada kemerdekaan adalah penghambaan atau Sklaven Geist (slave spirit). 
Penghambaan pula bukanlah dimaksudkan sebagai tangan terbelenggu atau kemerdekaan dirampas dan dipenjarakan, sementelahan pula bukanlah kemerdekaan itu seperti salah satu ciri khas yang disebutkan dalam "Declaration of Human Rights" (Hak-hak asasi manusia) iaitu manusia punya kebebasan berpindah ke negeri lain ataupun bebas tinggal dirumahnya dengan dilindungi oleh undang-undang. Kemerdekaan yang seperti itu hanyalah sisa-sisa tinggalan kemerdekaan yang murah harganya malahan boleh menghilang dengan pantas.


Kemerdekaan yang sejati adalah bahawa seseorang itu menguasai dirinya, hawa nafsunya serta juga mengetahui petunjuk-petunjuk yang memberikan kebaikan ataupun keburukan yang bersarang dalam dirinya.
Kemerdekaan yang sejati juga adalah sesorang itu tidak dikuasai oleh adat dan kebiasaan yang tidak sesuai setelah dipertimbangkan dengan akalnya yang murni serta juga kehidupan seseorang itu tidak musnah dek hanya mengikut dorongan  nafsu syahwat yang bergelojak.

No comments:

Post a Comment