Thursday, June 27, 2013

Ubat hati adalah dengan mengunjungi jenazah


Disebutkan didalam kitab "Peringatan Bagi Mereka Yang Terpedaya" karangan Abu Al-Mawahib Abdul Wahab Bin Ahmad Bin Ali Al-Anshar (Asy-Sya'rani), bahawasanya untuk membuang sikap sombong dalam diri seseorang adalah dengan menziarahi orang sakit dan melawat jenazah. Perbuatan yang murni ini telah menyuburkan kebaikan hati orang yang beriman dan ulama salaf menjiwai perbuatan ini untuk menghindarkan sikap buruk yang ada dalam diri.

Ulama salaf apabila menziarahi jenazah, mereka akan cuba untuk tidak berbicara hal keduniaan malahan mereka tidak pun bercakap-cakap kerana melihatkan keadaan yang tidak kena dengan situasi yang serba kesedihan. Berbeza kini, yang mana ramai yang berborak-borak sehinggakan ada yang mengilai ketawa. 

Dalam satu hadis riwayat Ahmad (No hadis 10840): 

                        "Kunjungilah orang sakit dan hantarkalah jenazah ke kubur"

Ketika ulama salaf mengunjungi jenazah, mereka dilihat dalam situasi yang bersedih kerana ingatan mereka tenggelam dalam memikirkan bagaimanakah keadaan manusia di dalam kubur. Kesedihan ini dapat dilihat pada wajah mereka. Sehinggakan Yahya bin Abi Katsir, apabila kembali dari ziarah jenazah, seluruh tubuhnya terasa lemas sampaikan beliau tidak boleh berjalan. Terpaksa beliau berhenti sebentar bagi menenangkan hati dari perasaan takut yang dihadapinya.

Bercakap dengan meninggikan suara ketika berhadapan dengan jenazah amatlah tidak disukai oleh ulama, bahkan mereka sangat marah apabila ada orang yang meninggikan suara. Mereka mengatakan bahawa orang yang meninggikan suara adalah orang yang sombong kerana tidak mahu mengambil ibrah dari peristiwa kematian.

Abdullah bin Mas'ud ketika melihat ada orang ketawa dihadapan jenazah, beliau akan mengherdik orang itu dan menghukumnya. Begitu juga, apabila Hassan Basri melihat seorang lelaki sedang makan di atas kubur, beliau memerahi lelaki tersebut " Sesungguhnya kamu orang munafik".

Begitu pula Ibrahim Az-Ziat, apabila melihat seorang lelaki menangisi jenazah. Beliau berkata: " Menangislah untuk dirimu dan sayanglah akan jenazah itu. Ini kerana mayat itu telah melalui 3 perkara: 1. Melihat Malaikat Maut 2. merasakan kepedihan mati 3. aman dari suul khatimah dan ini berbeza dengan kamu."

Dapatkah disimpulkan bahawa, menziarahi jenazah adalah amalan yang dilakukan oleh orang-orang yang soleh. Apabila mereka mengunjungi jenazah, mereka bersungguh-sungguh dalam memikirkan keadaan mereka dalam alam kubur sehingga perasaan ketakutan meresapi jiwa mereka. Sebab itu, mereka begitu marah apabila melihat orang yang bercakap-cakap hal keduniaan kerana ditakuti juga perasaan sombong bersarang dalam diri. Sesungguhnya, seperti yang dikatakan oleh Hatim al-Asham "Ubat hati adalah dengan mengunjungi jenazah".

No comments:

Post a Comment