Tuesday, June 25, 2013

Dari Buku Studi Islam (Part 2): Doktrin Islam Yang Menimbulkan Kemerdekaan Dan Keberanian (2) - Prof Dr. Hamka

Setelah larinya Andasyir, Panglima Perang Parsi iaitu Rustum atau Rustam diangkat sebagai pengganti untuk mempertahankan Parsi tetapi Rustum pun tidak dapat menandingi tentera Islam.

Mesir pula ditakluk oleh Amer Bin Ash yang mana Mesir pada masa itu adalah suatu daerah yang luas di bawah kekuasaan Muqauqis,
seorang raja muda yang menjadi wakil kepada kerajaan Byzantine. Sebelum mencecah 50 tahun kewafatan Nabi, Islam telah tersebar luas ke timur melalui Asia Tengah berterusan ke seberang sungai Sind dan Gangga. Pada masa itu, Muhammad Bin Kasim seorang pemuda berumur 17 tahun sangat dikenali sebagai Panglima Perang yang gagah lagi perkasa. Manakala di barat, Thariq bin Ziyyad mengepalai di wilayah Afrika Utara sehingga ke Sepanyol. Kapal yang digunakan untuk ke Sepanyol telah habis dibakarnya sambil berkata:

   "Lautan dibelakangmu, musuh dihadapanmu. Tiada lagi jalan pulang. Maka nasibmu ditentukan oleh keberanian ataupun kepengecutan!"

Sejak dari itu, Sepanyol telah ditakluki oleh tentera islam dan jadilah ia satu wilayah islam yang sampai sekarang ini dapat disaksikan dengan masjidnya berjumlah 1400 di Cordoba dan istana yang terkenal diseluruh dunia iaitu Alhambra di Granada.

Kita yang tidak mengetahui mengenainya pergilah ke Sepanyol dan lihatlah negeri Malaga, Marcia, Sevilla, Barcelona, Granada dan Cordoba. Walaubagaimanapun, semua itu telah berubah dan islam tidak menjadi utama disana, namun bekas tinggalan kebesaran Islam tidak lupus begitu sahaja.

Ketika saya bergerak dari Malaga ke Sevilla, di lapangan terbang Malaga, saya bertanya, yang mana satukah pintu yang perlu dilalui untuk ke Sevilla. Saya masih membaca sebagai yang tertulis: Sevilla! Tetapi orang Sepanyol yang jawabannya dalam bahasa Sepanyol bercampur Inggeris, menyebutkan Sevilla itu sebagai Asybilia, seakan sama dengan apa yang ditulis dalam bahasa dan huruf Arab: Asybiliah!

Ketika saya bermalam di sebuah hotel di Malaga, saya telah mendengar gadis Sepanyol bernyanyi seorang diri, lalu saya berkata sendirian:

  "Apakah ini Oum Kalthoum yang menyanyi lagu padang pasir dalam bahasa Sepanyol, atau gadis Sepanyol yang menyanyikan lagu Sepanyol dalam gaya Arab? Sebenarnya bukan itu, yang benarnya ialah bahawa kesenian Arab yang indah dibuat di Sepanyol, lalu ditinggalkan sebagai pusaka di tanah yang orang arab namakan sebagai "Al Firdausal Mafqud" (Syurga yang hilang) itu."

Kemudian setelah saya sampai di Morocco, saya mendengar muzik morocco dengan lagu-lagu yang masih mereka namai "Andalusia" dan iramanya tidak berubah dari apa yang saya dengar semasa di Malaga dahulu. 

Sekarang kita bertanya, "Ajaran apakah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, sehingga begitu cepat revolusi besar sampai ke seantero dunia? Ajaran apa yang dibawa Muhammad sehingga orang arab dapat mengalahkan Kerajaan Rom dan Parsi? Yang pada masa itu kedua-duanya adalah merupakan sebesar-besar kerajaan dunia!" Kita boleh membuat perumpamaan sekarang ini dengan membandingkan Libya (2 juta) mengalahkan Rusia (500 juta) dan Amerika (200 juta). - [tahun 1982]

Kita mengatakan mustahil Libya boleh mengalahkan Rusia. Tetapi orang islam Arab yang baru bangkit dalam jazirah arab yang meliputi seluruh tanah arab yang bersatu dalam akidah islam, belumlah cukup bilangannya 1 juta, sehingga dalam peperangan Mu'tah tentera islam yang berjumlah 3000 orang nyaris-nyaris dihancurkan oleh tentera Rom yang berjumlah 200 000 orang. Tiga panglima islam yang diangkat berganti-gantian gugur syahid lalu Khalid bin Walid diangkat menjadi pemimpin perang dan dialah yang dapat melepaskan baki tentera islam dengan selamat kembali ke Madinah dan waktu itulah Nabi SAW memberi gelaran kepadanya "Pedang Allah".

Marilah kita mengkaji satu demi satu sahabat-sahabat disekeliling Nabi SAW yang telah membina sejarah dan personaliti peribadi yang begitu hebat. Kalau di antara Nabi Isa Almasih dengan orang yang berada disekelilingnya dikenali sebagai pertalian guru dengan murid, maka pertalian Nabi SAW dengan pengikut-pengikutnya adalah pertalian sahabat dengan sahabat. Semua orang yang bertemu dengan Nabi SAW dan mengikut ajaran yang dibawanya adalah sahabatnya. Darjat mereka diangkat naik. Jadilah ia sahabat bukannya murid. Maka dengan ini pun telah menjadi asas penting bagi pendidikan jiwa pada orang-orang disekeliling Nabi SAW. Cintanya mereka kepada Nabi SAW, sehingga bekas air wuduk Nabi SAW pun jega direbut. Kalau duduk dihadapan baginda Nabi, mereka teramat khusyuk mendengar butir-butir hikmah yang keluar dari mulut Nabi SAW. Kalau ada musuh yang menganggu peribadi beliau, sahabat-sahabat ini yang dahulu bersedia mati sebelum musuh menyentuh nabi.

Seorang sahabat Nabi yang tidak terkenal ditangkap oleh orang Quraisy jahiliah. Ketika sahabat ini hendak dibunuh, mereka bertanya kepada sahabat Nabi ini:

  "Manakah engkau suka, lehermu dipancung sekarang atau engkau bebas dengan selamat. Tetapi hendaklah Muhammad menjadi pengganti lehermu untuk dipancung?"
  "Potonglah leherku sekarang juga, apa guna ditangguh lagi. Tetapi jangan engkau sebut Muhammad sebagai penggantiku. Tersentuh sedikit kulitnya sahaja, aku bersedia mati untuk memberikan rohku sebagai penebus beliau!" 

Demikian jawab sahabat itu.




No comments:

Post a Comment