Monday, June 24, 2013

Krisis jerebu..musibah yang diseru


Lokasi di bahagian selatan dan pantai barat Malaysia sekarang ini menghadapi salah satu ujian yang bukannya tidak biasa kita menghadapinya. Kita sebenarnya telah melalui pengalaman mengharungi getir  kabus berpartikel ini dan kita mengetahui dengan mudah punca terjadinya malahan kita tahu bagaimana untuk mengatasi masalah jerebu ini. Cuma apabila kita telah diberikan nikmat, mudah juga kita terlalai dari mengambil ibrah sehingga memandang enteng kemampuan ciptaan Allah ini. 

Jerebu puncanya adalah asap. Bentuk asap yang bagaimana boleh menghasilkan jerebu? Keadaan asap yang dikeluarkan ke udara dalam skala yang besar boleh menjadi penyebab utama kepada jerebu. Oleh itu, apakah sumber utamanya? Antaranya adalah penghasilan asap kenderaan bermotor. Dengan jumlah kenderaan berjuta-juta berlingkar di atas jalanraya, pelepasan asap kenderaan sudah tentu tidak terkawal sehinggakan pada satu tahap tertentu kapasiti udara telah diisi dengan asap berjelaga ini. Begitu juga dengan pelepasan asap kotor dari cerobong-cerobong asap kilang yang tidak mempedulikan isu alam sekitar. Dua punca utama ini telah menjadi isu yang tidak berkesudahan walaupun tercatat pada buku-buku sains persekolahan. Banyak jurnal,  majalah dan kajian telah dijalankan bagi menerangkan pada khalayak. Banyak juga kempen-kempen kesedaran dalam media massa diwar-warkan, tetapi ianya diambil dengan sikap acuh tak acuh.
Pemandangan berjerebu di Kuala Lumpur
Kini muncul satu punca yang boleh menyebabkan gejala jerebu menjadi sangat dasyat iaitu kebakaran hutan, ladang pertanian dan yang seumpamanya. Sebab apa ia begitu dasyat. Sebab apabila kebakaran berlaku, ia berlaku dengan cepat, pantas dan kawasan yang dilaluinya sangat besar. Kawalan kepadanya sangat sukar malahan apabila cuaca panas dan kering, seolah-olah faktor cuaca ini mejadi agen dan proksinya. Bahananya bukan sahaja memusnahkan sumber kayunya yang bernilai jutaan ringgit tetapi melibatkan kehilangan penempatan dan nyawa. Krisis ini dihadapi oleh Amerika Syarikat. Menurut UCS (Union for Concerned Scientist) dimana dianggarkan kerugian sebanyak USD800 juta setahun di sekitar California. Menjadi lebih parah lagi adalah terhasilnya satu lagi krisis iaitu jerebu yang dilabelkan oleh UCS "bad air days" yang menyeliputi seluruh negara Amerika dan jirannya.

Inilah yang berlaku di sekitar negeri pantai barat dan selatan Malaysia. Jerebu yang teruk bukannya tidak pernah berlaku. Malaysia bukannya baru-baru ini sahaja menempuh krisis jerebu malahan telah acapkali pun berlaku. Malahan darurat pernah disytiharkan pada 1997 di Sarawak. Sekali lagi Jun 2013, darurat telah diiystiharkan iaitu di Muar dimana bacaan IPU telah mencecah 750. Begitu juga dengan dua bandar di Melaka iaitu Bandar Melaka dan Bukit Rambai. Jerebu yang berlaku berpunca dari kebakaran di perhutanan Riau dan Jambi, Sumatera.

Dikatakan yang terlibat adalah konglomerat-konglomerat Malaysia yang melabur dalam industri perladangan. Bukannya 1 syarikat, tetapi yang digemburkan adalah sebanyak 8 syarikat yang berkaitan dan dikaitkan dengan firma-firma tersebut. Mereka ini bukannya sehari dua menjalankan projek perladangan yang sudah tentu modalnya berjutaan ringgit. Mereka ini bukannya sehari dua berpengalaman bahkan mereka memiliki kepakaran-kepakaran, teknologi, peralatan, mesin, kajian penyelidikan dan produk terbaik dalam mengendalikan industri yang berskala besar. Mereka juga sudah tentu mempunyai kumpulan pengurusan yang hebat dengan visi, misi serta rancangan strategik yang agung malahan dibantu dengan tenaga kerja teknikal yang cukup mahir dalam tugasan yang penuh mencabar yang mendokong falsafah keharmonian dan keamanan. Mereka inilah juga yang saban tahun menjadi teras sokongan kepada kempen-kempen kehijauan    dan bertindak sebagai penaja dan membiayai program-program alam sekitar. Apakah ini belum cukup untuk menjamin mereka untuk tidak bertindak memanipulasi industri perladangan ini? Kalau itu tidak mampu menampung kerakusan yang mengganas, maka sudah tiba undang-undang diangkat sebagai tunjang untuk menjentik kewarasan kelompok yang egois ini.

Bermula persoalannya disini, jelas kelompok ini meletakkan kepentingan yang bersifat komersil -keperibadian mengatasi kemaslahatan awam. Pada mereka, buatlah dahulu dan kemudian pasanglah harapan mengunung supaya krisis itu tidak terjadi. Seolah-olah kelompok ini, menjadikan takdir Allah sebagai alasan bagi menutup kerakusan mereka. Kelompok ini tidak menyedari yang mereka ini dikenali. Apabila sesuatu yang dikenali dan berada diatas, sudah tentu menjadi perhatian pada masyarakat yang berada dibawah. Kejadian yang sebegini telah mengocak kesedaran kepada masyarakat bahawa perlu ada mekanisma untuk mengawasi setiap perancangan syarikat perladangan yang dikhuatiri menjadi faktor jerebu pada masa hadapan. Pihak yang berautoriti perlu membuat penyiasatan disamping menjalankan proses undang-undang kepada pihak yang bertanggungjawab. Malahan perlu memastikan syarikat yang terlibat mematuhi garis panduan yang  telah dikenalpasti. Jangan dibiarkan terjadi krisis seperti ini sekali lagi. Masyarakat telah menghadapinya dan kalau terjadinya sekali lagi itu adalah musibah yang sengaja dicari.




No comments:

Post a Comment