Friday, June 21, 2013

Terkenal Pada Yang Mengenali...



Insan diberikan Allah dengan pelbagai nikmat. Nikmat yang diberikan itu sangatlah luas. Nikmat itu kadang-kadang sangat ditagih oleh hambaNya yang sangat memerlukan sebaliknya nikmat yang dikurniakan olehNya yang tanpa pun perlu menagih tidak boleh dihitung banyaknya malahan diberikan dengan kerelaanNya sahaja. Begitulah "Ar-Rahman" Allah yang Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya.

Sementelaahan kepada siapa nikmat itu boleh diberikan kalaulah ada "calculator" yang mencongak pada jawapan positif sahaja sudah tentu hamba-hambaNya yang bertakwa sahaja yang mencekapi nikmat itu. Iaitu insan yang mengingatiNya sepanjang masa dan ketika, yang berkhemah diatas tikar sejadah, yang menabung pada bank sedekah,maka mereka ini sudah tentu menjadi "first eleven" dalam pasukan Allah.

 Akan tetapi, itu tidak pada sisi pandangan Allah SWT. Maha Pemurahnya Tuhan yang Satu mencangkupi seluruh ciptaanNya. Sebab itu, nikmat tidak dipisahkan dari hambaNya ataupun ditarik begitu sahaja malahan diberikan jua pada hamba-hambaNya walaupun mereka mencongak pada jawapan yang negatif.

Limpahan nikmat harta kekayaan kepada Qarun yang sombong membuktikan Allah tidak menyekat nikmat itu. Terkenalnya Qarun jua disebabkan terkena akan dia ujian harta yang mana harum namanya di dasar bumi yang menelannya. Kisah qarun menjadi ibrah pada manusia yang ingin mengambil iktibar. Insan yang tidak mensyukuri atas nikmat yang diberikan boleh melahirkan sifat buruk yang lain tanpa disedarinya. Sebab itu qarun tidak dapat melihat pada sisi keburukan itu akibat hatinya terkurung dengan nikmat yang banyak tanpa ia menyedari sikap bangga diri telah menjadi raja. Maka qarun dikenali pada sisi negatif dalam sejarah manusia yang terkenal di kalangan manusia.

Jikalau itu yang berlaku pada qarun, apakah tiada siapa yang terkenal walaupun diberikan nikmat hidupnya dalam keberkatan dan jaminan Allah. Lihat pada sahabat nabi Abdul Rahman Auf. Sahabat yang terkenal dengan kekayaan yang melimpah ruah tetapi kekayaan itu tidak menjadikan ia lalai pada jalan Allah. Malahan dengan hartanya itu dijadikan saham pahala yang berganda besarnya. Masakan tidak, ia pernah membahagi hartanya itu separuh kepada fakir miskin. Begitu juga dalam jalan menegakkan jalan fisabillah, ia telah menyediakan sehingga 500 ekor kuda perang bersama kelengkapan tempur kepada parajurit islam. Banyak lagi pengorbanan sahabat ini atas nikmat kekayaan yang ada padanya, namun tidak mengolong sahabat ini kepada orang yang sombong dan bangga diri. Bahkan ia juga melekatkan  kebencian dan takut kepada kekayaan yang boleh memesongkan dan mempengaruhi dirinya menjadi seperti qarun. Terkenalnya Abdul Rahman bin Auf ini oleh sisi positif dikalangan manusia.

Walaupun tabiin ini tidak dikenali di kalangan manusia, Uwais Al-Qarni ini begitu terkenal di kalangan penduduk langit yang sangat memujinya. Kisah hidupnya yang miskin disamping menjaga ibunya tidak menjadikan ia melupakan rasa rindunya kepada baginda nabi yang sangat dicintainya walaupun tidak pernah bertemu mata akan memetik getaran pada hati-hati orang yang beriman yang menyayangi Rasullullah SAW. Menguruskan seorang ibu yang uzur tidaklah dianggap sebagai bebanan tetapi ketaatan kepada ibunya serta cintanya pada baginda nabi maka Uwais Al-Qarni mendapat keistimewaan dari Rasullullah SAW. Berpesan nabi kepada Saidina Umar dan Saidina Ali supaya kelak mencari pemuda dari Yaman ini dan mintalah doa daripada pemuda ini. Maka sejak dari itu, sahabat-sahabat nabi ini sentiasa menuggu pedagang-pedagang dari Yaman yang singgah di Madinah. Sehingga pada ketika Saidina Umar menjadi khalifah, setelah kematian ibunya, Uwais ke Madinah dan disaat itulah sahabat nabi ini menemukan Uwais yang dikenalinya dari tanda-tanda yang diberitakan oleh baginda nabi. Lalu Saidina Umar yang ketika itu berjawatan Amirul Mukminin memujuk Uwais untuk mendoakan mereka.Umar kemudiaanya menawarkan bantuan kepada Uwais tetapi dengan hormatnya ia menolak dan menyatakan supaya jangan ia di agung-agungkan.

Bayangkanlah bagaimana hebatnya Uwais ini walaupun tidak dikenali, mendapat penghormatan yang begitu hebat dari khalifah. Namun, beliau tidak pula ingin pada penghormatan itu. Setelah itu Uwais berkelana dan namanya tidak lagi disebut dikalangan penduduk bumi tetapi terkenal hebatnya ia dikalangan penduduk langit.

Wassalam.




No comments:

Post a Comment