Thursday, June 27, 2013

Dari Buku Studi Islam (Part 3): Doktrin Islam Yang Menimbulkan Kemerdekaan Dan Keberanian (3) - Prof Dr. Hamka

Jasa Khalifah Yang Empat
Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khatab, Usman Bin Affan, Ali Bin Abi Talib, Khalid bin Walid, Amer bin Ash, Sa'ad bin Abi Waqash, Mu'awiyah bin Abi Sufyan, Abu 'Ubaidah, Zubai bin Awwam dan lain-lain adalah nama-nama agung sebagai penegak Daulah Islamiyah. Saidina Abu Bakar adalah khalifah yang pertama dan dalam 2 tahun pemerintahannya, beliau berjaya mempersatukan kembali negara Islam yang nyaris berkubur oleh sekelompok yang menganjurkan "sparatisme". Kemunculan nabi-nabi palsu antaranya Musailamah seorang pembohong, Aswad Al Insyi, Malik bin Nuwairah dan nabi palsu wanita iaitu Sajjah binti Harith memberontak di setiap wilayah. Semua ini dapat diselesaikan oleh Saidina Abu Bakar dalam masa satu setengah tahun. Pada enam bulan yang kemudiannya, beliau menumpukan kepada pembukuan Al'Quran yang selama ini terpisah. Ada yang dicatat pada kulit unta, ada yang ditulis atas tulang unta dan ada juga dinotakan pada pucuk daun kurma. Tujuan pembukuan Al-Quran ini disebabkan ada keperluan yang mendesak kerana ramai penghafaz Al Quran syahid di medan perang dan sebab itu diperintahkan supaya dikumpukan menjadi Mushhaf.

Kedua-dua usaha dan amal yang dilakukan beliau sangatlah besar maknanya yang meninggalkan kesan yang besar dan agung dalam Islam sehinggalah kini.

Umar bin Khattab yang menggantikan Saidina Abu Bakar adalah seorang khalifah yang meninggalkan banyak manfaat dan digelar "Yang Mula-Mula". Beliaulah yang memperkenalkan Baitul Maal, juga membenarkan pemberian kuasa untuk hakim membuat keputusan. Beliau juga mengeluarkan harta baitul maal untuk diberikan kepada orang tua walaupun dari kafir zimmi, memperkenalkan stesen perhubungan pos dan yang pertama sekali menegakkan kekuasaan Islam yang tersebar luas melangkaui tanah arab, wilayah Parsi, Asia Tengah dan Afrika Utara. Sejarah telah memandangnya sebagai penegak Kerajaan Islam yang sebenar. 
Salah satu salinan asal Mushhaf Al Quran
yang disimpan di Mesir

Usman bin Affan meneruskan perjuangan dan pada zamannya perkara yang tidak selesai berjaya disempurnakan. Tentera Islam berjaya menakluki negara Cyprus. Jasanya yang paling terkenal adalah membangunkan kota Madinah, menyalin Al Quran yang disusun pada zaman Abu Bakar kepada beberapa buah dan dihantar ke Iraq, Mesir, Yaman, Syam dan satu untuk simpanan beliau. Sampai sekarang naskhah Al Quran yang dianggap sah adalah yang dinamakan dengan Mushhaf Utsmani atau Mushhaf Al Imam. Manakala naskhah-naskhah yang lain dilenyapkan, maka sebab itu Islam tidak mengalami masalah seperti kitab Injil yang mana ada catatan Matius, ada juga catatan Markus, juga catatan Lukas dan disamping itu ada juga catatan Yohannes.

Ali bin Abu Talib adalah khalifah yang keempat dan seorang khalifah yang besar. Sayang sekali pada masa beliau terjadi peperangan saudara di antara Ali dengan pengikut Mu'awiyah. Pengaruh Mu'awiyah menjadi besar dan akhiarnya Ali sendiri terbunuh ketika bersolat subuh di Kufah.

Jasa-jasa Sahabat Nabi Yang Lain
Muawiyah bin Abu Sufian adalah seorang penulis atau pencatat kepada baginda Nabi SAW. Beliaulah yang memulakan dinasti Umayyah yang di catatkan oleh orang Eropah sebagai Omayaden.

Sa'ad bin Abi Waqash namanya terkenal kerana Saidina Umar mengangkat beliau menjadi Panglima perang yang menakluk Parsi. Amer bin Ash pula dikenali sebagai penakluk negara Mesir. Abu Ubaidah pula terkenal kerana berjaya menakluk bumi Palestin. Manakala Khalid Bin Walid dikenali seorang pejuang Islam yang hebat.

Semua nama yang gemilang ini, umpama seorang pejuang kecil sahaja apabila berhadapan dengan baginda Nabi SAW. Tiada seorangpun yang mengangkat muka di hadapan baginda, kerana kuatnya cahaya kebesaran yang memancar dari tubuh baginda Nabi SAW yang menembusi dalam diri mereka. Walaupun dengan kewafatan Nabi SAW, merekalah pejuang-pejuang dan pembina sejarah yang tiada tolok bandingnya. Semangat mereka mengalir umpama aliran elektrik yang begitu dasyat menerobos kearah tentera-tentera Islam yang mereka pimpin. Sehinggakan dengan kelompok yang sedikit jumlahnya berjaya mengalahkan segerombolan kelompok yang berlipat kali ganda bilangannya dengan izin Allah!

No comments:

Post a Comment